Kenyataan Media PAS/Pakatan Rakyat PRK N.01 Kuala Besut (23 Julai 2013)

KENYATAAN AKHBAR PAS / PAKATAN RAKYAT PRK N.01 KUALA BESUT

Hari ini adalah sidang akhbar yang terakhir dalam tempoh kempen pilihanraya kecil Kuala Besut. Jutaan terima kasih diucapkan kepada rakan-rakan media cetak dan alternatif yang telah memberikan liputan yang seimbang tentang perkembangan gerak kempen kami dalam tempoh 12 hari ini. Ini adalah perkembangan yang baik terutamanya kempen yang berjalan dalam bulan Ramadhan ini. Namun kami masih lagi kecewa dengan sikap dan laporan oleh media elektronik; iaitu radio dan televisyen kerana masih mengamalkan diskriminasi politik yang usang.

Kami memulakan kempen PRK N.01 Kuala Besut ini sebagai "underdog" dan menyedari tentang penggunaan seluruh jentera kerajaan yang bertumpu ke daerah ini. Kempen kami bermula dengan defisit undi 2,343 dan dalam kempen kami merasakan dapat terus merapatkan jurang. Keyakinan kami adalah daripada dua faktor besar iaitu calon dan jentera kami. Berdasarkan kajian kami, ternyata calon kami mempunyai kelebihan atau "advantage" kerana dikenali hampir 70% daripada pengundi Kuala Besut. Dengan berkat ramadhan dan kesungguhan calon dan jentera tidak mustahil kemenangan mampu berpihak kepada kami.

Kesemua isu-isu yang kami bangkitkan dalam tempoh kempen ini ternyata sangat menekan pihak lawan kami. Ini terbukti dengan besarnya peruntukan yang mereka terpaksa berikan dalam tempoh kempen ini. Setiap isu menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dan bagaimana rakyat di Kuala Besut khususnya dan Parlimen Besut amnya berbanding dengan kawasan selatan Terengganu lainnya telah dipinggirkan selama ini.

Jumlah besar yang telah kami hitung hingga ke saat ini adalah menjangkau RM 476.19 Juta. Dengan jumlah pengundi sebanyak 17,683 kami isytiharkan setiap nilai kertas undi N.01 Kuala Besut adalah mencecah RM 27,000. Ini meletakkan PRK N.01 Kuala Besut dalam sidang parlimen ke 13 ini adalah antara tertinggi dalam sejarah.

Bagi memastikan segala janji manis yang dibuat oleh pimpinan UMNO dan Barisan Nasional ini maka, PAS dan Pakatan Rakyat sangat mengharapkan pengundi dan rakyat Kuala Besut merealisasikan cita-cita agenda 16:16. Hanya 16:16 akan dapat menamatkan urustadbir kerajaan negeri yang tempang serta gagal meletakkan keutamaanya untuk membela rakyat di negeri ini khasnya di Kuala Besut. Kami merumuskan kembali tujuh (7) agenda 16:16 yang telah war-warkan sebelum ini seperti yang tertera dalam edaran buletin terakhir yang diberikan.

Kami meyakini bahawa agenda "Se Ene Se Ene" atau 'satu-enam satu-enam' akan membawa tuah dan peluang bagi kesemua ADUN-ADUN kami melunaskan tanggungjawab semak dan imbang dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi memperjuangkan kepentingan rakyat negeri Terengganu. Semoga Ramadhan al-Mubarak membawa rahmat dan berkat kepada perjuangan kami dalam PRK N.01 Kuala Besut ini. Sekian, Terima kasih.

Dr. Dzulkefly Ahmad
Ahli Jawatankuasa Induk PRK N.01 Kuala Besut merangkap Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat
23 Julai 2013

 

Senarai Pemberian :

  • Projek berjumlah RM250 juta untuk mendalamkan Sungai Besut.

TPM – Mingguan Malaysia 21 Julai 2013

  • Peruntukan menaik taraf Masjid Haji Ishak, Kampung Dengir sebanyak RM343,000

TPM – Bernama 17 Julai 2013

  •  Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan peruntukan bernilai lebih RM10 juta untuk membina pangsapuri empat tingkat merangkumi 72 unit di Kampung Lay Out.

The Malaysianinisider / Kosmo – 17 Julai 2013

  • Bantuan RM147,750 dalam bentuk anak ayam kampung, kambing, makanan ayam dan motosikal roda tiga daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu kepada 314 petani sekitar Kuala Besut oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

TV9 14 Julai 2013

  • Muhyiddin meluluskan peruntukan RM28 juta projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi di Tok Saboh, Kuala Besut.

Majlis Pecah Tanah Kg Alor Peroi Kuala Besut 16 Julai 2013

  • Pemberian kunci rumah dan surat tawaran Rumah Mesra Rakyat (RMR) oleh Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Kamarul Rashdan Salleh di Kuala Besut.

Bernama 17 Julai 2013

  • Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan tiga projek tambahan bagi menaik taraf kehidupan penduduk dan infrastruktur Pulau Perhentian yang dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun depan.Projek itu ialah pembinaan 10 unit rumah kedai bernilai kira-kira RM4 juta, pembinaan jeti khas dan menaik taraf serta membina jalan ke perkampungan di pulau itu.

Berita Harian 20 Julai 2013

  • Kerajaan negeri meluluskan pembinaan 200 unit rumah mengikut program perumahan rakyat, yang dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, dengan kos RM28 juta atau RM140,000 seunit di Pulau Perhentian.

MB T’ganu – Bernama / Kosmo 17 Julai 2013

  • Sebuah masjid terapung dengan kos RM12 juta, selain pelaksanaan projek bagi perairan dan tapisan kumbahan bernilai RM10 juta.

TerengganuToday 5 Julai 2013

  • Empangan Lowvier bernilai RM35 juta untuk para petani, khususnya penamam padi di Pengkalan Nangka.

TPM – Himpunan Petani & Nelayan di Dataran Kuala Besut – Berita Harian 20 Julai 2013

  • 2 Klinik Kesihatan di Besut bernilai RM39 juta – Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam 22 Julai 2013
  •  500 buah unit rumah di Kuala Besut dengan anggaran RM 22.5 juta- MB Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said 22 Julai 2013
  • Projek RISDA RM 3.7 juta. – KSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Ibrahim Muhamad 22 Julai 2013
  • Baikpulih Kompleks LKIM di Kuala Besut RM1.5 juta - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 22 Julai 2013
  • Pemberian 60 kanopi dalam lawatan ke Pasar Tani Kuala Besut oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 22 Julai 2013

 

Jumlah Keseluruhan : lebih RM 476.19 Juta

Nilai Purata Satu Kertas Undi PRK N.01 Kuala Besut 2013 = RM 26,930