Rekod Prestasi PAS meyakinkan rakyat

 

KUALA BESUT, 23 Julai - Berdasarkan rekod prestasi PAS dan Pakatan Rakyat yang baik di negeri-negeri tadbiran membuktikan kerajaan pakatan berjaya membangunkan rakyat tanpa mengkesampingkan soal kebajikan.

Pengarah 1 Pilihanraya Kecil N01, Dato' Husam Musa berkata perkara ini menggambarkan kejayaan dan integriti PAS/PR dalam mentadbir negeri dan menjaga kebajikan rakyat. Membawa contoh Kerajaan PAS di Negeri Kelantan, beliau menjelaskan semasa dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan, beliau memberi tumpuan kepada cara bagaimana untuk menambahkan hasil pendapatan negeri untuk kebaikan rakyat.

"24 jam fikir macamana nak tambah hasil Negeri Kelantan. Alhamdulillah macam-macam hasil yang kita perolehi sekalipun kita ditekan. Saya dahulunya memegang kedua-dua portfolio kewangan dan kebajikan. Apabila hasil bertambah, kita kena guna duit ini untuk orang susah, orang miskin, orang kurang upaya, orang daif, armalah dan anak yatim. Kalau duit banyak tetapi membazir, habis. Kerana itulah saya pegang kedua-duanya; kewangan dan kebajikan. Alhamdulillah kita buat berbagai-bagai program kebajikan sehingga Alhamdulillah, pendapatan rakyat Kelantan, secara statistiknya turun daripada nombor 2 termiskin di Malaysia kepada nombor 6. Terengganu pula naik ke nombor 2 menggantikan Kelantan sehingga ke hari ini. Johan bahagian miskin jatuh kepada Sabah."

Beliau mengulang, "Naib johan bahagian miskin jatuh ke Terengganu, walaupun duit Terengganu banyak."

"Mesej yang hendak sampaikan di sini adalah dasar kebajikan itu sebati dengan Islam. Hanya orang Islam sahaja dilatih untuk berkebajikan."

"Bersandarkan Surah Ad-Dhuha (ayat 9-10) yang bermaksud, [9] Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. [10] Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik. Surah Ad-Dhuha adalah antara surah terawal diturunkan Allah. Ini bermakna, Nabi telah diajar awal-awal lagi tentang memberi bantuan kepada orang miskin. Inilah dasar Islam."

Beliau menyambung, "Kemudian di dalam Surah Al-Insan, Allah turut menyebut mengenai kisah dermawan Saidina Ali dan Fatimah yang telah memberi roti kepada orang miskin. Mereka berbelanja kepada orang miskin bukan kerana mahukan ucapan terima kasih atau mengharapkan dikenang orang tetapi kerana kewajipan agama. Jadi kewajipan agama untuk mendapat kuasa bagi pihak orang miskin adalah kewajipan Islam."

Beliau mengingatkan pihak penguasa agar mengingati dan mengasihi orang-orang miskin. Jadi apabila kita ada kuasa, kena ingat orang miskin dulu. Kalau kita ingat orang miskin, kita nak berbelanja mewah pun tak akan menjadi."

Dulu exco-exco Kelantan diajar oleh Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk tidak meminta wang claim sepanjang keberadaan di luar negara. Hanya claim tiket kapal terbang sahaja digalakkan, atau lebih kurang sahaja belanja hotel, jangan claim sampai buat duit. Ini dasar Kelantan. Dengan itu kerajaan negeri berjaya mengumpul wang dan melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk golongan miskin, armalah dan anak-anak yatim di Negeri Kelantan.

Beliau menegaskan Che Long juga mempunyai sifat-sifat dermawan dan suka kepada orang miskin dan suka bercampur dengan mereka. Sifat ini merupakan satu kelebihan buat wakil PAS tersebut.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula berkata, rakyat di Selangor telah mempercayai kerajaan PR yang berkonsepkan kerajaan berkebajikan setelah pemberian air percuma 20 liter setiap rumah yang telah dilaksanakan selama 5 tahun.

"Rakyat percaya kepada Pakatan Rakyat setelah kami berkerja keras untuk memastikan hasil negeri sampai kepada rakyat."

"Di Selangor kita banyak program merakyatkan ekonomi Selangor. Antara program yang kita lakukan ialah pemberian air percuma yang telah dilaksanakan lebih daripada 5 tahun," katanya ketika berucap di Karnival Jom Bersama Che Long di Kg. Baharu.

Beliau turut menyatakan bahawa kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Selangor terhadap PR semakin meningkat selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu memihak kepada PR.

"Kepercayaan rakyat kepada PR jelas di Selangor. Oleh sebab itu, pada PRK ini kita telah memberi peluang kepada rakyat Kuala Besut untuk memberikan kepercayaan kepada Pas untuk mewakili (PR)."