Jangan Mendahului Kuasa Tuhan - Husam

Pengarah Pilihanraya Kecil N01 Kuala Besut, Dato' Husam Musa menyangkal dakwaan pihak Barisan Nasional kononnya PAS mengaku kalah secara halus apabila bercakap tentang Ahmad Said kekal sebagai Menteri Besar Terengganu jika PAS menang dalam pilihanraya kecil kali ini.

"Ini bukan masalah mahu mengaku kalah. Bukan masalah mengaku kalah. Kalau 16:16 macamana nak tumbang? Kalau main jongkang-jongket, sama beratlah 16:16 ini. Nak buat macamana, 16:16 macam tu jelah. Tetapi sama berat itulah yang baik disebabkan Barisan Nasional menjadi kerajaan tetapi dia kena ikut Pakatan Rakyat punya polisi. Kalau takdir esok, mati pula seorang lagi, barulah menjadi 17:15. Sekarang ini kita dah kehilangan seorang ADUN, cukuplah 16:16. Jangan mendahului kuasa Tuhan."

Beliau yang ditemui selepas sesi ceramah turut menyifatkan 16:16 bukan untuk kepentingan PAS, tetapi ia adalah semata-mata demi kepentingan rakyat Terengganu dan Kuala Besut khususnya. Rakyat akan lebih terbela jika berlakunya perimbangan kerusi 16:16 di dewan Terengganu.

"Biarlah keadaan kekal seperti biasa tetapi faedah melimpah ruah kepada rakyat. PAS tidak perlu tamak. Terimalah apa sahaja pemberian rakyat dan juga Allah s.w.t. Orang tamak selalu rugi".