Ragam Petugas Peraih Undi

KUALA BESUT, 24 Julai : Walaupun berpuasa dan cuaca panas terik, para pengundi PRK Kuala Besut tetap menunaikan tanggungjawap mereka untuk keluar mengundi.

Kira-kira jam 10 pagi, kelihatan sekitar SK Bukit Puteri golongan pertengahan dan warga emas mendominasi tempat mengundi. Manakala petugas SPR dilihat membantu warga emas ke pintu masuk sekolah ke pusat pengundian.

Jentera kedua-dua parti PAS mahupun BN meneruskan tugas mereka meraih undi untuk saat akhir. Mereka berdiri di sepanjang jalan berhampiran pusat-pusat mengundi.

Walaupun perayu kedua-dua pihak sibuk menarik perhatian orang ramai, tetapi keadaannya terkawal.

Keadaan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu iaitu tempat calon PAS membuang undi agak riuh dengan perang mulut kedua-dua jentera parti yang berdiri di bahu jalan. Begitu juga di SK Kampung Nangka berlaku perbalahan antara peraih undi PAS dan BN kerana perebutan garisan sempadan kempen. Polis meredakan perbalahan ini dengan berdiri ditengah-tengah antara kedua-dua kawasan parti.

Unit Peti Undi (UPU) Bukit Puteri merupakan antara peti undi yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan sebelum ini.