Dakwat kekal atau pun tidak?

 

KUALA BESUT, 24 Julai - Dakwat kekal di jari merupakan janji yang telah dicanang SPR sebelum PRK Kuala Besut. Kini semua pihak menanti untuk melihat keberkesanan dakwat yang digunakan dalam proses pengundian.

Pada PRU ke 13 yang lalu, berlaku kekecohan apabila dakwat yang dicalit pada tangan pengundi ternyata boleh dihilangkan apabila dibasuh. Namun begitu, SPR memberi alasan ia terjadi kerana dakwat yang digunakan tidak mengandungi nitrat perak tetapi sebaliknya daripada bahan pewarna makanan dan petugas tidak menggoncang botol sebelum mencalit ke tangan pengundi.

Kali ini,SPR menukar teknik kepada mencelup jari pengundi ke dalam botol dakwat.Jari telunjuk kiri akan dicelup dan dibiarkan selama 30 saat untuk kering. Semasa sesi simulasi yang dibuat SPR menunjukkan bahawa dakwat itu sememangnya kekal. Seorang wartawan yang mencuba turut mengakui dakwat berkenaan kekal dan semakin hitam apabila dibasuh.

Adakah pada kali ini dakwat yang digunakan akan terus kekal? Dapatkah SPR menebus kembali maruah mereka atas kesalahan pada PRU ke 13? Marilah sama-sama kita saksikan.