62.61 peratus sudah keluar mengundi

KUALA BESUT, 24 Julai- Kempen bersungguh-sungguh selama 12 hari daripada jentera PAS terbukti berhasil apabila ramai penduduk yang keluar mengundi. Petugas-petugas daripada Parti PAS telah keluar pada awal pagi untuk menyokong calon, Azlan atau Che Long. Mereka beratur di sepanjang jalan berhampiran Pusat pengundi sambil memegang poster dan sepanduk tanda sokongan. Kempen dilihat berlaku secara sihat antara kedua parti yang bertanding.

Dipetik daripada Malaysiakini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz mengatakan bahawa beliau mengharapkan pengundi yang keluar mengundi akan berterusan kerana peratusan pengundi yang keluar tinggi.

Berikut adalah peratusan keluar mengundi setakat tengahari ini:

9 pagi - 5,147 orang (31 peratus). 11 pagi - 7,356 orang (44.49 peratus)

Apabila dicampur dengan pengundian awal di Kem Tentera Sabtu lepas, jumlah keseluruhan orang yang telah mengundi adalah 8,268 orang (46.76 peratus).

12.30 pagi - 9,022 orang (54.57 peratus).
1.00 petang - 10,160 orang (61.45 peratus), termasuk undi awal 911, sebanyak 11,072 (62.61 peratus)

Kuala Besut mempunyai 17 713 orang pengundi berdaftar pada pilihanraya kali ini. Seramai 148 orang adalah pengundi berbangsa Cina yang akan membuang undi di Seberang Barat dan Bukit Puteri.

Sementara itu, Che Long telah pun mengundi seawal jam 8.05 pagi sambil ditemani isteri, Ustaz Wan Azhar dan para penyokong. Beliau kemudiannya bergerak untuk melawat pengundi-pengundi di semua pusat mengundi.

Di SK Kuala Besut pula, calon BN Tengku Zaihan yang keluar mengundi pada jam 8.20 pagi menjadi perhatian ramai apabila beliau menunjukkan kertas undi dirinya sendiri yang telah dipangkah kepada media.Beliau mengangkat kertas tersebut dan perbuatan itu sempat dirakam oleh sebilangan besar petugas media yang ada.

Ketika ditanya berkenaan tindakan calon BN yang menunjukkan kertas undi kepada media sewaktu membuang undi, pengerusi SPR, Abdul Aziz menjawab, "Beliau tidak sepatutnya berbuat begitu. Setiap undi adalah rahsia."

Selain itu, penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus turut menunjukkan sokongan padu kepada calon PAS apabila beliau turut bersama bergerak ke semua pusat mengundi dan bertemu calon PAS.